Sunday 10 February 2019

GUA BATU MALOI

Foto oleh Abang Cdeq - Hobian

Assalamualaikum semua.

Untuk aktiviti hujung minggu HOB kali ini, kami tidak lagi memanjat bukit atau ber-camping seperti biasa, tapi kelainan aktiviti kami kali ini adalah dengan merangkak dan membongkok melalui lorong-lorong sempit, gelap dan basah di Gua Batu Maloi.

Gua Batu Maloi yang terletak di Negeri Sembilan berhampiran Gunung Datok dan Gunung Tampin ini merupakan gua yang terbentuk akibat tindihan batu-batu besar yang dikatakan jatuh bertindihan dari dua gunung ini.




Gua ini mempunyai 24 check point (info ini mungkin berubah di masa akan datang mengikut perubahan muka bumi) di sepanjang laluan lebih kurang 2.4 kilometer. Kepada yang sukakan aktiviti outdoor dan kelainan, Gua Batu Maloi merupakan lokasi yang sesuai kerana untuk menerokainya, anda perlu melakukan pelbagai aksi kuak lentang dan kupu-kupu untuk melepasi celah-celah batu yang sempit.


TENTATIF H.O.B

Dibawah saya kongsikan sedikit tentang tentatif kami sepanjang expedisi ini :

9 FEBRUARI 2019 (SABTU)
0900 - Berkumpul di Hutan Lipur Gua Batu Maloi basecamp
0930 - Aktiviti meneroka gua bermula
1300 - Dijangka keluar dari gua dan kembali ke basecamp
1400 - Makan tengah hari, mandi dan solat zohor
1530 - Bersurai


BAYARAN MASUK

Terdapat banyak pakej yang disediakan untuk ekspedisi ini :

RM35 - Permit & bayaran guide
RM40 - Permit, bayaran guide & makan tengah hari
RM45 - Permit, bayaran guide, makan tengah hari & sijil
RM55 - Permit, bayaran guide, makan tengah hari, sijil & sewaan helmet ATAU headlamp
RM65 - Permit, bayaran guide, makan tengah hari, sijil & sewaan helmet DAN headlamp

Maksimum ahli untuk satu kumpulan adalah 10 orang. Kanak-kanak dibawah umur 12 tahun tidak dibenarkan untuk menyertai aktiviti ini. Aktiviti penerokaan gua boleh dibatalkan serta-merta jika terdapat tanda-tanda awal cuaca buruk atau ketidakstabilan gua dan bayaran akan dipulangkan semula. Bayaran penuh perlu dibuat 4 hari sebelum ekspedisi.

Untuk ekspedisi ini, HOB mengambil pakej RM40.


LOKASI 




TIPS BERGUNA


  1. Kasut Getah - Memandangkan 90% ekspedisi ini melibatkan air, anda disarankan untuk memakai kasut getah yang boleh dibeli di Kedai Hardware atau MR. DIY dengan harga sekitar RM5 - RM10 sahaja.
  2. Helmet - Memakai helmet tidaklah diwajibkan ketika ekspedisi gua ini tapi untuk extra keselamatan, anda boleh menyewa helmet ini dengan membayar tambahan RM10
  3. Headlamp - Sangat penting kerana anda akan melalui lorong-lorong gelap sepanjang penerokaan gua ini. Jika tidak ada headlamp, anda boleh menyewa di sana dengan bayaran tambahan RM10
  4. Bag - Abang guide tidak sarankan anda untuk membawa bag bersama kerana kebanyakkan lorong yang dilalui nanti agak sempit dan bag yang digalas boleh menganggu kelancaran perjalanan. Jika ingin membawa bag juga, anda boleh membawa bag jenis waterproof.
  5. Pakaian - Pakai pakaian yang cerah atau bersifat pantulan manakala seluar adalah panjang, tidak terlalu gabby dan bersifat dryfits.
  6. Sarung tangan - Untuk elakkan tangan luka atau untuk menambah daya cengkaman, anda boleh memakai sarung tangan. Memakai sarung tangan tidak diwajibkan.
  7. Air minuman - Anda boleh bawa air minuman bersama tapi sejujurnya sepanjang 4 jam penerokaan gua, saya tidak rasa dahaga, hanya lapar dan keletihan sahaja.
  8. Sarung handphone waterproof - Nak bawa handphone sebab nak bergambar tapi risau akan basah? Anda boleh bawa bersama sarung handphone waterproof yang boleh digantung dileher tapi harus berhati-hati risau tali akan putus.
  9. Baju dan seluar kering extra - Boleh disimpan di dalam kereta. Anda akan basah bila keluar dari gua nanti dan perlukan baju persalinan.
  10. Cermin mata - Bagi yang bercermin mata seperti saya, sila ikat cermin mata anda dengan tali getah. Kenapa? Di dalam gua nanti, anda akan memanjat air terjun dan melawan arus air, cermin mata boleh terlucut dan jatuh. 

Tak nak bercakap banyak lagi, jom ikut saya menerokai keindahan Gua Batu Maloi! HUHA!

_________________________________________________________________________________


EKPEDISI MENEROKAI GUA BERMULA!

Hutan Lipur Gua Batu Maloi ini terletak di Kampung Tanggai, Johol, Negeri Sembilan. Jaraknya dari Kuala Lumpur mengambil masa kira-kira 2 jam memandu. Kami bertolak dari destinasi berbeza dan bersarapan di basecamp Hutan Lipur sebelum memulakan misi yang dijangkakan bermula pada pukul 9.30 pagi.


Pintu masuk Hutan Simpan Batu Maloi

Persediaan akhir dengan mengikat cermin mata sebelum masuk gua

Bersantai sekejap sementara menunggu taklimat dari Abang Guide

Bergambar dahulu sebelum memulakan misi

Sebelum ekspedisi dimulakan, kami terlebih dahulu diberi sedikit taklimat ringkas berkenaan dengan aspek keselamatan ketika berada di dalam gua nanti. Kami juga digalakkan untuk tidak membawa bag bersama kerana kebanyakkan lorong yang perlu kami laluan nanti agak sempit. Lorong yang paling sempit adalah seluas 1 1/2 kaki. Membawa bag boleh mengganggu kelancaran perjalanan.

90% laluan yang kami akan tempuhi nanti adalah melibatkan air (mesti basah) serta 80% pula perlu melalui lorong-lorong yang sempit. Ada juga ketika, kami perlu melawan arus air di dalam gua dan juga mengharungi air yang dalam.


Pada permulaannya, kami harus meredah denai dan air sungai sebelum sampai ke pintu gua
Tiba di pintu masuk Gua Batu Maloi

Kami terpaksa merangkak dan membongkok ketika melalui laluan sempit gua

Sempat bergambar plak dia

Masa untuk merangkak pula

Mengharungi jalan yang sempit diantara dua batu

Sepanjang ekspedisi ini, kami perlu meredah laluan yang agak sukar. Perlu bersedia dari segi mental dan juga fizikal. Yang paling penting adalah semangat kerjasama diantara pasukan. Ada ketika kami saling memerlukan bantuan antara satu sama lain seperti menghulurkan tangan atau membantu rakan-rakan ketika melalui ruang sempit dan tinggi.

Selain perlu mengharungi lorong sempit, gelap dan basah, Gua Batu Maloi juga mempunyai banyak lorong yang mengelirukan. Kebarangkalian untuk berpisah daripada team adalah tinggi, Di nasihatkan untuk sentiasa ikut rapat dengan orang dihadapan.

Laluan di gua ini juga ada yang melibatkan memanjat tali, melompat, merangkak, meniarap, menggelongsor, berenang, melawan arus air terjun, menyelam dan melalui celahan batu yang sempit.


Keadaan gelap di dalam gua

Membawang ke tu?

Checkpoint ke 5 adalah checkpoint di Gua Kelawar. Seperti namanya, gua ini merupakan habitat semulajadi bagi kelawar-kelawar liar. Untuk melalui laluan ini, kami diarahkan untuk tidak menghalakan headlamp ke siling gua selain perlu senyap. Kami juga dilarang untuk mengambil gambar ketika melintasi laluan gelap ini. Tujuannya adalah untuk mengelakkan kelawar-kelawar liar ini terkejut, sekaligus menyebabkan mereka terbang ketakutan.

Selepas melepasi checkpoint 5, buat kali pertama di dalam Gua Batu Maloi, kami perlu memanjat dinding gua dengan bantuan tali yang telah disediakan. Tidak bergitu sukar, hanya perlu berhati-hati kerana permukaan batunya yang licin dan basah.


Akak kita ini seorang sempat berposing ketika memanjat ke atas

Pandangan dari bawah sebelum memanjat tali ke atas

Posing ala-ala filem Kuch Kuch Hotak Hang

Setelah beberapa ketika berhempas pulas menyelinap di lubang sempit antara tindihan batu seperti tikus mondok dan menahan nafas dari bau najis kelawar di Gua Kelawar, kami akhirnya tiba di satu ruang khas yang besar, iaitu di Checkpoint 6.

Menurut Abang Guide kami yang kelakar, ada sejarah dan mitos berlaku di ruangan itu. Menurut mitos, terdapat seorang lelaki Orang Asli bernama Malai telah bercinta dengan seorang gadis bunian di kawasan itu. Oleh kerana mitos ini berlaku di Negeri Sembilan, Malai lebih dikenali sebagai nama Maloi akibat loghat negeri.

Berbalik pada cerita mitos tadi, pencintaan mereka berdua telah ditentang oleh keluarga Maloi yang menyebabkan Maloi dan Gadis Bunian itu nekad untuk melarikan diri dengan sebuah kapal layar. Namun ketika berlayar, kapal mereka pecah dan ditinggalkan di gua berkenaan.

Kalau diperhatikan betul-betul, terdapat satu batu yang besar berbentuk seolah-olah seperti sebuah kapal dengan layar terbelah dua yang dipercayai merupakan peninggalan kapal Maloi itu.


Abang Cdeq sempat bergambar di atas batu yang dikatakan kapal layar Maloi

Kami mengambil peluang bergambar seketika di checkpoint 6 ini

Checkpoint 6 merupakan satu kawasan luas yang digelar sebagai 'Dewan' kerana keluasannya

Suasana di kawasan 'Dewan', lokasi kapal layar Maloi

Sempat bergambar sebelum bergerak ke checkpoint seterusnya

Meneruskan perjalanan yang sempit ini untuk ke checkpoint seterusnya

Laluan sempit, berliku, gelap dan basah

Kami seterusnya meneruskan perjalanan berliku-liku kami ke checkpoint seterusnya untuk ke kawasan dimana adanya imej Maloi dan Puteri Bunian yang terbentuk di atas sebuah batu besar akibat kesan titisan air. Dapat dilihat dengan jelas titisan air tersebut membentuk dua figura manusia yang dikatakan figura Maloi bersama kekasihnya itu.


Kesan titisan air yang membentuk seakan-akan dua figura manusia

Penerangan ringkas oleh Abang Guide tentang mitos Maloi

Sebelum gerak, kita bergambar lagi!

Senyum jangan tak senyum semua

Perjalanan ke checkpoint diteruskan

Selepas melihat imej Maloi dan mendengar kisah mitosnya itu tadi, kami meneruskan ekspedisi kami ini ke checkpoint seterusnya. Kali ini kami dibawa keluar dari gua dan melalui celahan batu besar ke check point 16. Tiada lagi suasana gelap, hanya stamina diperlukan untuk melalui celahan batuan ini.

Di checkpoint 16, kami diberi masa untuk berehat seketika oleh Abang Guide selama lebih kurang 20 minit sebelum meneruskan perjalanan kami ke checkpoint seterusnya.


Kami mula keluar dari kawasan gua dan melalui celahan batu-batu besar

Yeah, masa untuk berehat dan bergambar seketika

Keunikan akar pokok yang berusia puluhan tahun ini di checkpoint 16

Dah macam gambar Pre-wedding dah ni

Selepas puas bergambar dan berehat, misi jelajah Gua Batu Maloi diteruskan. Kali ini laluannya lebih mencabar kerana kami terpaksa menempuhi laluan sempit yang gelap selain perlu melawan arus air yang deras. Dikesempatan itu juga, kami mengambil peluang untuk merasai kedinginan air terjun dan juga bergambar.


Laluan basah, sempit dan gelap yang harus kami tempuhi

Abang kita ni sorang tengah sedih. Apa yang difikirkan itu?

Sempat snap satu gambar sebelum meredah air terjun

Yeah, kita basahkan diri jap sementara menunggu turn memanjat air terjun

Katak gergasi di dalam Gua Batu Maloi

Ok, bergambar kenangan lagi

Bergambar ala-ala model baju sukan terkenal

Tengah fikir, macam mana nak keluar dari gua ini

Setelah puas merangkak, berenang, dan berdrama di Batu Maloi, kami akhirnya berjaya melepasi kesemua 24 checkpoint yang ada. Yeeehaaaa HUHA! Perut pun sudah lapar. Mana taknya, 4 jam lebih kami mengembara menyelusuri Gua Batu Maloi yang jaraknya hampir 2.4 KM itu. 4 jam tu dah macam drive kereta dari Kuala Lumpur ke Termerloh.

Untuk laluan pulang ke basecamp, kami melalui laluan darat, menerusi denai di kawasan hutan. Perjalanannya tidaklah sampai sehingga 4 jam, tapi hanyalah lebih kurang 40 minit sahaja.

Pakej yang kami ambil adalah pakej RM40 termasuk makan tengah hari. Sampai sahaja di base camp, kami dihidangkan Nasi Ayam dan Air Sirap ais. Apa lagi, terus kami terkam!


Melalui denai untuk kembali ke basecamp

KESIMPULAN

Kesimpulan daripada kembara HOB kali ini di Gua Batu Maloi, ia sememangnya satu lokasi yang berbaloi untuk diterokai terutamanya bagi individu yang ingin merasai kelainan serta penggemar aktiviti outdoor. Walaupun Gua Batu Maloi bukanlah Gua Batu Kapur dan tidak mempunyai struktur stalagmit dan stalaktit, gua ini sebenarnya mempunyai keunikan dalam kelasnya yang tersendiri.


2 comments: